Kamis, 13 Januari 2011

Hadits keluar pada hari raya dan bertakbir

dalam buku kumpulan hadts-hadits rasulullah saw. HR. BUKHARI menerapkan hadits tentang keluar pada raya dan bertakbir.. yang berbunyi:
Dari afshah dari ummi 'Athiyah berkata: "Kami disuruh keluar pada hari raya, sehingga kami mengeluarkan gadis dari tabirnya, orang yang sedang haidh, dan mereka dibelakang orang laki-laki, mereka (wanita) takbir bersama takbir mereka (laki-laki), dan berdoa bersama mereka (laki-laki) , yang mereka itu mengharapkan berkah dan kesucian hari itu (hari raya). (HR.BUKHARI)

hadis tentang mencintai seseorang karena allah ta'ala

Orang-orang yang beriman lebih mencintai Alloh.....


Bismillah, Walhamdulillah Wassholatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Washohbihie Waman Walaah
amma ba'du...

KITAB ADAB BERUSAHA DAN MENCARI RIZKI

Keutamaan berusaha dan anjuran melaksanakannya
Mula-mula kita memilih ayat al-Quran yang menganjurkan agar kita berusaha, di antaranya firman Allah Ta’ala di dalam kitabNya: “Kami (Allah) menjadikan waktu siang itu sebagai masa untuk berusaha mencari kenikmatan untuk meneruskan kehidupan.” (an-Naba’: 11)
Allah Ta’ala telah menjadikan masa siang itu sebagai masa untuk berusaha mencari kenikmatan untuk meneruskan kehidupan. Allah berfirman lagi: “Dan Kami (Allah) jadikan bagi kamu padanya (bumi) sebagai lapangan kehidupan, tetapi sedikit sekali kamu berterima kasih.”(al-A’raf: 10)
Allah Ta’ala telah menjadikan di sana tempat untuk mendapatkan kenikmatan, kemudian berterima kasih pula kepadaNya atas kenikmatan yang     diperolehinya itu.
Allah berfirman lagi: “Maka bertebarlah di muka bumi serta carilah reszeki dari kurnia Allah.” (al-Jumu’ah: 10)
Dari Hadis-hadis yang bertujuan untuk perkara ini pula, sabda Rasulullah s.a.w.: “Andaikata seseorang kamu mengambil talinya lalu berusaha mencari kayu-kayuan yang diikatkan di belakangnya itu lebih utama daripada dia mendapati seseorang yang diberikan Allah pengurniaanNya, lalu meminta-minta kepadanya sama ada diberi atau ditolak.”
Sekali peristiwa sedang Rasulullah s.a.w. duduk bersama-sama pada sahabatnya, maka mereka pun terlibat seorang anak muda yang gagah       perkasa sedang dalam perjalanan untuk berusaha mencari rezeki. “
Mereka berkata: Sayang sekali, alangkah baik jika anak muda ini menggunakan kemudahannya dan kekuatannya untuk berjuang fisabillah? Mendengar hujah tersebut, baginda lalu menangkis dengan sabdanya: “Jangan berkata begitu karena sesungguhnya jika ia keluar berusaha untuk mencari rezeki bagi anak-anaknya yang masih kecil, niscaya perjalanannya itu pada sabilillah juga. Jika ia keluar berusaha untuk mencukupi dirinya, niscaya perjalanannya itu pada sabilillah juga. Tetapi jika ia keluar berusaha untuk bermegah diri dan menyombong, niscaya perjalanannya itu pada jalan syaitan”
Rasulullah s.a.w. pernah ditanya: Mana satu usaha yang paling baik? Baginda bersabda: “Usaha yang paling baik sekali, ialah usaha seseorang dengan       tangannya, dan semua jual beli yang diridhoi Tuhan.”
Sabdanya lagi: “Sebaik-baik perusahaan ialah perusahaan seorang pekerja, jika  ia melakukan dengan sebaik-baiknya.”
Maksudnya jika ia bertekun di dalam pekerjaannya, kemudian ia menjauhi penipuan dan membuat kerja dengan sebaik-baiknya supaya orang yang memilikinya tiada sesal di kemudian hari.
Berkata Umar Ibnul-Khattab r.a.: Jangan sampai ada orang di antara kamu yang suka menganggur dan tidak mahu mencari rezeki. Lalu ia berdoa: Ya Allah! Ya Tuhanku! Berikanlah saya kurniaMu! Sedang kamu sekalian telah mengetahui bahwa langit itu tidak pernah menghujankan emas dan perak.
Berkata Ibnu Mas’ud r.a.: Sebenarnya saya benci melihat seseorang itu menganggur saja, sama ada dalam urusan dunianya atau pun dalam urusan akhiratnya.
Ahmad bin Hanbal r.a. pernah ditanya: Apa katamu pada seseorang manusia yang duduk di rumah ataupun di masjid saja, seraya ia berkata: Saya tidak akan membuat sesuatu pekerjaan sehingga rezeki saya akan datang nanti. Ahmad bin Hanbal menjawab: Alangkah jahilnya orang itu! Apakah ia tidak pernah mendengar sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesunguhnya Allah telah menjadikan rezekiku terletak di bawah lindungan tombakku.” Sambung Ahmad bin Hanbal lagi: Apa tidak pernahkah ia mendengar sabdanya lagi ketika ia menyebutkan tentang burung yang setiap pagi telah pergi dalam keadaan lapar, kemudian kembali di waku petang dengan perut yang berisi makanan. Tentu sekali burung yang keluar pagi-pagi hari itu untuk mencari rezekinya.
Para sahabat Nabi s.a.w. juga keluar berniaga dengan melanda darat dan mengharungi laut, karena mencari rezeki masing-masing. Ada pula yang bekerja di ladang-ladang kurma mereka sendiri. Memang tidak ada yang lebih baik, selain dari mencontohi mereka dalam segala gerak lakunya, terutama sekali lagi orang yang tiada menerima harta warisan, maka tiada jalan lain untuk menyelamatkan diri mereka itu, melainkan dengan berusaha dan bekerja.
Selanjutnya meninggalkan bekerja itu sememangnya lebih afdhal bagi seseorang alim yang bekerja untuk mendidik anak bangsa dan mengajar orang ramai dengan ilmu-ilmunya yang akan memberi manfaat mengenai urusan keagamaan mereka, seperti mufti yakni yang pakar dalam ehwal ilmu-ilmu Fiqh, Tafsir, Hadis dan sebagainya. Begitu juga, bagi orang yang mengurus maslahat-maslahat kaum Muslimin, seperti sultan, hakim dan saksi,
Orang-orang ini sekiranya mendapat habuan dari harta benda yang memang dikhaskan untuk maslahat kaum Muslimin ataupun dari wakaf-wakaf yang diperuntukkan khas bagi fakir miskin atau para ulama, maka kecenderungan mereka dalam hal-ehwal keagamaan dan pendidikan orang ramai itu lebih utamanya daripada mereka meninggalkan kerja-kerja ini dan lari mencari rezeki untuk sara hidup mereka. Oleh itu para sahabat telah menunjuk Abu Bakar as-Siddiq r.a. supaya meninggalkan berniaga di pasar, apabila beliau dilantik menjadi Khalifah sebab kerja-kerja Khalifah itu terlalu berat yang tak dapat tidak akan memesongkan dari tanggungjawabnya. Tetapi beliau terus berusaha untuk mencari sara hidupnya.
Khalifah Abu bakar as-Siddiq hanya mengambil biaya secukup-cukupnya saja dari harat benda Baitul-Mal dan beliau sendiri berpendapat yang demikian itu lebih utama. Tetapi, apabila beliau meninggal dunia diwasiatkan agar semua harta benda yang telah diambilnya dari Baitul-mal itu dikembalikan semula, meskipun pada mulanya beliau telah menyetujui bahwa pengambilan harta benda itu adalah suatu pendapat yang terbaik.

Melaksanakan keadilan dan menjauhi penganiayan dalam mu’amalah
Ketahuilah bahawasanya bermuamalah itu terkadang-kadang berlaku atas dasar penganiayaan, sehingga orang yang menjalankan mu’amalah itu terdedah kepada kemurkaan Allah Ta;ala. Dan penganiayaan yang membawa kemudharatan kepada orang lain itu terbagi kepada bahagian yang bahayanya menyentuh pihak umum atau orang ramai sekalian, dan bahagian yang bahayanya menimpa orang perseorangan saja.

BAHAGIAN PERTAMA: MU’AMALAH YANG BAHAYANYA MENYENTUH UMUM
Adapun mu’amalah yang membawa bahaya kepada sekalian orang ramai itu ada banyak, terutama sekali yang berikut ini:
(1) Penimbunan atau memonopoli: Orang yang menjual barang-barang keperluan sehari-hari bila menimbun atau menahan barang-barang itu dari penjualan untuk menunggu naik hartanya adalah suatu kezaliman secara umum yang mana agama mengutuk pelakunya, terutama sekali pada masa kekurangan barang-barang makanan sedangkan manusia yang memerlukannya semakin bertambah. Maka menahan penjualannya tentu sekali akan menimbulkan banyak kesusahan kepada umum. Sebaliknya jika barang-barang keperluan itu, sememangnya banyak dalam pasaran dan orang ramai tidak menunjukkan semacam keperluan kepadanya, atau tidak mahu membelinya melainkan dengan harga yang rendah, lalu tuan punya barang-barang itu ingin menyimpannya sehingga meningkat semula harganya dan niatnya bukanlah untuk menunggu masa kekurangan barang-barang itu, maka yang demikian itu bukanlah dikira menimbun, dan ia tidak termasuk dalam ketegori menyusahkan orang-orag ramai. Tetapi jika masa itu memang masa kekurangan barang-barang keperluan, dan tuan punya barang-barang itu berniat menahan penjualannya, maka dalam hal ini tentulah nyata menimbulkan mudharat pada orang ramai dan yang demikian tidak syak lagi hukumnya haram.
Meskipun keadaan tiada menampakkan mudharat, namun menimbun makanan itu tetap tidak terlepas dari hukum makruh, karena tujuan orang yang menimbun itu ialah menantikan masa timbulnya bahaya, iaitu kenaikan harganya. Manakala hukum menantikan masa timbulnya bahaya itu dilarang keras oleh agama, sebagaimana menantikan adanya bahaya itu dilarang kerasa oleh agama sebagaimana menantikan adanya bahaya itu sendiri. Walau bagaimanapun, peringkat-peringkat bahaya itu berbeda-beda kadarnya, menurut perbedaan tingkatan-tingkatan makruh dan haram.
(2) Mengedarkan wang palsu dalam berjual beli atau bertukar-tukar mata wang. Ini suatu penganiayaan karena ia membahayakan orang yang berjual beli, jika ia tiada mengetahui. Jika ia mengetahui maka ia telah menipu orang lain pula, sehingga mata wang palsu itu bertukar-tukar tangan, dan tersebarlah mudharat itu di antara mereka yang tentu sekali akan menimbulkan berbagai-bagai kerosakan. Dengan itu maka dosa sekalian orang yang menyebarkan mata wang palsu itu balanya akan kembali kepada dirinya, sebab dialah punca dosa tersebut sebagai orang yang membuka pintunya.
Ada pendapat yang mengatakan, bahwa membelanjakan wang palsu itu lebih berat dosanya daripada mencuri seratus dirham, karena mencuri itu adalah maksiat yang dilakukan sekali saja, dan perkaranya telah selesai dan habis. Manakala membelanjakan wang palsu itu, mungkin sekali ia akan menanggung dosanya, sehingga selepas ia mati sampai seratus atau dua ratus tahun, yakni sehinggalah rosak atau binasa wang palsu itu barulah terputus dosanya. Tambahan pula ia akan menanggung apa yang telah terkurang daripada harta benda orang lain yang mendapat wang palsu tersebut.
Alangkah bahagianya manusia yang bila mati, akan mati bersamanya semua dosa-dosanya akan celaka yang tak sudah-sudah pula bagi manusia yang bila mati, akan berterusan pula dosa-dosanya seratus tahun atau lebih dari itu, ditimpakan ke atasnya azab dalam kubur dan akan ditanya mengenainya sehingga perkara itu tidak berlaku lagi.
Allah telah berfirman: “Kami (Allah mencatat apa yang telah mereka lakukan terdahulu dan kesan-kesan dari amalan-amalan mereka.” (Yasin: 12)
Maksudnya kami tuliskan juga segala yang terkemudian dari kesan-kesan perbuatan mereka, sebagaimana kamu menuliskan yang terdahulu daripadanya.
Allah telah berfirman lagi: “Akan diberitahukan kepada manusia pada hari itu apa saja amalan yang dilakukan terdahulu dan terkemudian (al-Qiyamah: 13)
Maksudnya, sebenarnya diperkirakan di kemudian hari kesan amalannya dari anjuran-anjuran yang tak baik, yang dilakukan oleh orang-orang sesudah matinya. Dalam mata wang yang palsu itu ada beberapa perkara yang harus diperhatikan iaitu:
(1) Jika wang palsu itu dikembalikan kepadanya semula, maka hendaklah ia membuangnya di dalam perigi supaya tidak terjatuh ke tangan orang lain. Ingatlah jangan sampai ia menggunakan wang palsu itu semula dalam perkara jual belinya yang lain. Jika ia mencacatkan wang itu sehingga tidak laku lagi, tidak mengapa.
(2) Seorang peniaga hendaklah tahu membedakan antara mata wanga yang tulen dengan mata wang yang palsu, supaya tidak tersalah ambil lalu dia memberikannya pula kepada orang lain tanpa diketahui mata wang itu sebenarnya palsu. Maka berdosalah ia karena perbuatann itu, disebabkan kecuaiannya tidak mahu mempelajari mengenal mata wang. Sebab setiap pekerjaan yang kalau diketahuinya dapat dijadikan bahan nasihat kepada      kaum Muslimin, wajiblah ia mempelajarinya.
(3) Jika seseorang mempunyai mata wang yang bulatannya kurang besar dari bulatan mata wang negerinya, maka hendaklah ia memberitahu orang yang bermu’amalah dengannya. Ataupun jika ia hendak menggunakan juga, maka bolehlah diberikannya kepada orang yang ia benar-benar mengetahui bahwa orang itu tidak akan menggunakannya lagi kepada orang lain secara penipuan. Tetapi jika ia menyerahkan mata wang itu kepada orang yang mengedarkannya lagi kepada orang lain, maka penyerahannya samalah seperti menyerahkan kepada orang yang mahu melakukan kerosakan. Malah keadaanya samalah seperti menjual buah anggur kepada orang yang hendak membuat arak. Hukum jual beli serupa itu adalah haram dan dikira membantu dalam melakukan perkara yang salah dan dosa. Manakala penjualannya disamakan seperti berkongsi dosa dengan pembeli yang membuat arak itu. Memelihara diri dari tercebur ke dalam perkara-perkara serupa ini dalam urusan perniagaan adalah lebih patut diberatkan daripada memelihara amalan-amalan ibadat sunnat dan menyediakan diri untuk melakukannya.



BAHAGIAN KEDUA: MU’AMALAH BAHAYA YANG MENYENTUH ORANG PERSEORANGAN. 
Segala yang boleh mendatangkan kerugian kepada orang lain adalah penganiayaan. Maka keadilan itu ialah tidak menimpakan kerugian ke atas saudaranya yang Muslim. Sebagai pedoman yang harus dijaga ialah: Hendaklah ia tiada menyukai bagi saudaranya melainkan apa yang disukai bagi dirinya.
Oleh itu segala perlakuan yang mungkin menyukarkan dirinya sendiri atau memberatkan hatinya, maka janganlah dilakukannya terhadap saudaranya yang Muslim. Yang wajar biarlah dipandang wangnya sama dengan wang saudaranya. Ini sebagai kesimpulannya.
Adapun keterangan lanjutanya ada empat perkara iaitu:

(1) Janganlah hendaknya ia terlalu memuji-mujia atas barang dagangannya secara omong kosong, karena yang demikian itu adalah suatu kebohongan. Kiranya si pembeli terpengaruh dengan kata-kata puji itu lalu membelinya, maka itu adalah suatu pengeliruan dan penganiayaan. Jika si pembeli terpengaruh dengan kata-kata puji itu lalu membelinya, maka itu adalah suatu pengeliruan dan penganiayaan. Jika si pembeli menolak maka ternyatalah karena adanya sikap kebohongan itu, dan jatuhlah warwahnya di hadapan si pembeli tadi. Kalau hendak memuji barang dagangan itu, biarlah yang benar dan betul-betul, tanpa berlebih-lebihan atau melampaui batas.
Janganlah sekali-seklai bersumpah karenanya, sebab jika sumpahnya itu palsu maka ia telah membuat sumpah bohong, dan sifat ini termasuk perkara-perkara dosa besar. Jika ia bersumpah benar, maka ia telah menjadikan nama Allah sebagi bahan permainan dalam sumpah itu, dan ini termasuk sifat keji pula. Sebab urusan keduniaan itu lebih rendah daripada seseorang berniat untuk melariskan barang dagangannya dengan bersumpah     dengan nama Allah, tanpa perlu bersumpah.
Dalam Hadis tersebut: “Neraka Wail bagi peniaga yang bersumpah: Demi Allah, Wallahi, tidak demi Allah, dan Neraka Wail juga bagi pekerja yang suka membohongi janji: esok atau lusa.”
Sabda Rasulullah yang lain: “Sumpah bohong untuk melariskan barang dagangan akan melenyapkan keberkatan dalam perusahaan.”

(2) Hendaklah ia menjelaskan segala cacat-cacat barang dagangannya yang terlihat ataupun tersembunyi. Tidak boleh disembunyikan tentang cacat-cacatnya. Itu adalah wajib. Jika ia menyembunyikan juga kecacatan itu menjadilah seorang penipu atau penganiaya, sedangkan penipuan itu adalah hukumnya haram. Dengan itu juga ia telah tidak mengendahkan kebenaran dalam perkara jual beli sedangkan sifat ini adalah wajib. Jika seseorang pedangan menunjukkan bahagian yang baik dari baju yang dijualnya sedangkan bahagian yang tak baik diselindungkan, maka ia telah menjadi seorang penipu. Begitu juga ia mendedahkan pakaian yang diperdagangkan itu di tempat-tempat yang gelap, ataupun menunjukkan pasangan kasut atau sepatu yang baik saja, sedangkan yang tak baik tidak ditunjukkan, ini termasuk juga sebagai seorang pedagang penipu.
Dalil yang menunjukkan pengharaman penipuan ialah riwayat berikut yang menjelaskan: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. berjalan ke tempat seorang yang menjual makanan, terasa keinginan baginda kepada makanan itu, lalu dicecahkanlah tangannya pada makanan itu dan didapatinya basah. Maka baginda bertanya: Mengapa basah! Jawab penjual: Karena terkena hujan. Maka baginda bersabda pula: Mengapa makanan itu tidak engkau letakkan di atas meja supaya dapat dilihat oleh orang. Siapa yang menipu kita (kaum Muslimin), maka dia bukan termasuk golongan kita.
Dalil yang menunjukkan wajib berlaku jujur dengan menyatakan cacat-cacat pada barang dagangan ialah riwayat dari Rasulullah s.a.w. iaitu: Apabila Rasulullah s.a.w. selesai menerima bai’at Jarir karena memeluk Agama Islam, Jarir pun ingin kembali, maka oleh Rasulullah ditariknya baju Jarir seraya mensyaratkan atasnya supaya berlaku jujur terhadap setiap Muslim.
Apabila Jarir mengeluarkan barang dagangannya untuk dijual, ditelitinya terlebih dahulu cacat-cacat barang itu, kemudian disuruh pembeli memilih, katanya: Jika mahu ambillah, jika tak mahu tinggalkanlah disitu, Ada orang berkata kapada Jarir: Wahai Jariri! Kalau engkau buat macan ini nanti tak laku semua barang-barang engkau itu. Jarir menjawab: Kami semua telah membai’at Rasulullah s.a.w untuk berlaku jujur terhadap setiap Muslim.
Cerita yang lain pula dari Watsilah Ibnul-Aqsa’ yang pada suatu hari sedang berdiri di suatu tempat. Pada ketika itu dilihatnya seorang menjual untanya dengan harga 300 dirham. Watsilah lalai sehingga orang itu telah pergi dari situ bersama unta yang dibelinya. Kemudian Watsilah menjerit-jerit mengejar si pembeli itu seraya bertanya: Tuan beli unta itu untuk disembelih atau untuk ditunggang? Jawab orang itu: Untuk ditunggang. Berkata Watsilah: Kalau begitu saya patut memberitahu tuan, bahwa di kaki unta itu ada lubang yang saya lihat dengan mata kepada saya sendiri, nanti tentutlah unta itu tak kuat untuk berjalan terus-menerus. Maka si pembeli unta itu kembali semula ingin mengembalikan unta tersebut kepada si penjual, sehingga penjualnya bersetuju mengurangkan harganya sebanyak 100 dirham lagi. Penjual itu lalu berkata kepada Watsilah: Moga-moga Tuhan merahmatimu, sebenarnya engkau telah merosakkan penjualanku. Lalu dijawab oleh Watsilah: Bukankah kita telah membai’at Rasulullah s.a.w. untuk berlaku jujur terhadap setiap Muslim? Tidakkah engkau pernah mendengar sabda Rasulullah s.a.w: “Tiada halal bagi seseorang menjual sesuatu barang, melainkan ia menerangkan kecacatannya, dan tiada halal bagi orang yang mengetahuinya, melainkan mesti diterangkan kecacatan itu.”
Difahamkan dari perkataan berlaku jujur itu, ia tiada ridho untuk saudaranya, melainkan apa yang ia meridhokan untuk dirinya sendiri. Dan sifat ini juga tiadalah dikira suatu keutamaan ataupun kelebihan martabat, tetapi mereka meyakini bahwa yang demikian itu sebagai syarat-syarat kesempurnaan Islam seseorang yang termasuk ke dalam bai’at (janji persetiaan)
Meskipun melakukan perkara serupa itu agak sedikit berat bagi jiwa tetapi akan segera menjadi enteng atas seseorang manusia, bila ia mempercayai dua perkara berikut:

(1)  Dia harus meyakinkan dalam dirinya bahwa pengeliruan terhadap kecacatan sesuatu barang itu, dan melariskannya secara tipu daya tidak akan menambah rezekinya, malah akan memusnahkan dan menghapuskan segala keberkatannya. Mungkin sekali Allah akan memusnahkan semua harta benda yang dikumpulkannya dari perbuatan yang mengelirukan itu sekaligus.
Ada suatu cerita: Seorang yang mempunyai seekor lembu betina, dia sering memerah susu lembu itu lalu dicampurkan dengan air, kemudian baru dijualnya di pasar. Pada suatu hari Allah mentakdirkan datang air bah lalu menenggelamkan lembu itu. Maka berkata anak-anak orang itu: Sebenarnya air bah itu ialah air-air yang kita campurkan hari-hari dengan susu, ia telah berkumpul menjadi satu kini, lalu mengambil lembu itu dari tangan kita.
Alangkah benarnya hujah anak-anak orang itu? Mengapa tidak? Bukankah ada sebuah Hadis yang berkata: “Dua orang yang berjual beli itu, bila mereka berkata benar dan berlaku jujur niscaya akan diberkatilah pada kedua jual belinya. Tetapi jika keduanya menyembunyikan sesuatu atau berbohong, niscaya akan tercabutlah keberkatan dari jual beli keduanya.”
Hadis yang lain pula: “Tangan Tuhan bersama-sama kedua orang yang berkongsi selagi mereka tiada khianat-mengkhianati. Jika mereka khianat-mengkhianati akan terangkatlah tangan Allah itu daripada mereka” tegasnya: Harta benda tidak akan bertambah jika berlaku pengkhianatan, sebagaimana ianya tiada akan berkurang karena dikeluarkan sedekah.

(2) Hendaklah ia mengi’tikadkan sebenar-benar i’tikad supaya sifat kejujuran itu menjad lebih sempurna dan mudah dilakukan, bahwasanya keuntungan di akhirat dan kekayaan di sana itu lebih utama dari keuntungan dan kekayaan di dunia, dan bahwasanya kemanfaatan harta benda keduniaan itu akan habis bila berakhir umur seseorang dalam kehidupan dunianya, manakala penganiyaan dan dosanya akan tetap berkekalan. Jadi, bagaimana seseorang yang waras fikiranya sanggup menukarkan sesuatu yang nilainya rendah dengan yang nilainya tinggi dan baik. Bukankah kebaikan itu terletak pada keselamatan agama?
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. berkata: “Seseorang itu belum beriman dengan al-Quran selagi ia menghalalkan apa-apa yang diharamkan olehnya.”
Oleh itu barangsiapa yang mengetahui, bahwa semua perkara yang tersebut itu akan mencacatkan keimanannya, sedangkan ia yakin pula, bahwa hanya keimanan sajalah yang boleh menjadi jaminan dalam perniagaan keakhiratannya, tentulah ia tidak akan mensia-siakan jaminan yang disediakan bagi suatu umur yang tiada akhirnya, justeru keuntungan yang dapat diambil manfaatnya untuk beberapa hari saja.
Setengah para tabi’in berkata: Andaikta saya masuk ke Masjid Jami’ sedangkan orang telah ramai di dalamnya, kemudian saya ditanya: Siapakah yang paling baik dan siapa yang paling jahat, niscaya saya akan berkata: Sebaik-baik mereka itu ialah orang yang paling jujur dalam perkara berjual-beli, dan sejahat-jahat mereka itu ialah orang yang menipu dalam berjual belinya.
Ketahuilah, bahwa melakukan penipuan dalam perjual-belian dan perusahaan adalah haram hukumnya. Oleh itu seseorang pengusaha tidak boleh menganggap enteng saja terhadap perusahaannya, sebab kalau orang lain melakukan serupa itu terhadap dirinya, tentulah ia tiada akan ridho. Hendaklah ia memperbaiki perusahaannya dan meneliti kerja-kerjanya. Kemudian hendaklah ia menerangkan kecacatannya, jika memang ada cacat. Dengan cara begini akan terlepaslah ia dari tanggungjawab:
Seorang tukang kasut bertanya kepada Ibnu Salim: Bagaimana caranya supaya saya terselamat dalam perkara menjual kasut? Ibnu Salim menjawab: Buatkanlah muka kasut itu sama rata, jangan sampai yang kanan lebih tinggi dari yang kiri. Perbaiki lapisannya sehingga yang satu salin tak tumpah pada yang lain, jadikan jahitannya sama antara satu dengan yang lain, dan jangan meletakkan yang satu atas yang lain ketika menjualnya.
Imam Ahmad bin Hanbal r.a. ketika ditanya tentang penampalan baju sehingga tidak ketara koyaknya, beliau berkata: Tidak boleh menampalnya, jika ia tahu tuan punya baju itu bila menjualnya nanti ia tidak akan memberitahu pembelinya akan cacat baju tersebut. Boleh menampal serupa itu, jika tukang penampalnya yakin bahwa is penjual akan memaklumkan tentang kecacatan barang dagangannya ataupun bukan untuk dijual lagi.
Jika ada orang berkata, bahwasanya perkara jual beli itu akan menjadi terlalu sukar jika diwajibkan ke atas pedagangan untuk menyatakan kecacatannya. Maka saya menjawab tentangan itu dengan berhujah: Keadaannya tidaklah sedemikian sukar sekali. Tetapi jika pedagang mensyaratkan atas dirinya, bahwa ia tiada akan membeli barang-barang dagangan untuk dijual semula, melainkan yang baik-baik belaka, yang ia ridho untuk kegunaan dirinya sendiri kalaulah ia yang menjadi pembelinya. Dengan cara begini tentulah tidak akan berlaku pengeliruan atau penipuan. Barangsiapa sikapnya seperti in tentu tidak akan membeli barang-barang dagangan melainkan yang baik-baik saja. Meskipun memang jarang-jarang sekali terdapat dalam barang-barang dagangannya itu yang ada cacatnya, maka hendaklah ia menunjukkannya juga kepada pembeli, kemudian menjualnya dengan seberapa yang dapat saja.
Ibnu Sirin menjual kambing kepada seorang, lalu dia berkata kepada pembeli kambing itu: Ia selalu membolak-balikkan makanan dengan kakinya. Demikian caranya perjalanan orang-orang ahli agama yang teguh imannya kepada Allah.

(3) Janganlah menyembunyikan cacat dalam penakaran atau timbangan, iaitu membetulkan timbangannya dengan menambah sedikit supaya terkeluar dari kehilafan. Hendaknya bagaimana ia menerima takaran dari orang lain, begitu pula ia menakar kepada mereka. Allah telah berfirman: “Neraka Wail bagi orang-orang yang mengurangi timbangan. Apabila meraka menyukat untuk dirinya diminta dicukupkan dan apabila mereka menyukat untuk orang lain atau menimbang lalu dikurangkannya.” (al-Mutaffifin: 1-3)

Dia tidak akan terselamat dari perkara yang terlarang ini, melainkan jika ia melebihkan sedikit jika ia menakar atau menimbang untuk dirinya sendiri. Sebab sukar sekali hendak digambarkan keadilan yang sebenarnya. Dari itu sebaik-baiknya ia melahirkan keadilan itu dengan menambah atau mengurangi sedikit, sebagai mana  yang tersebut di atas karena orang yang mengambil haknya secukup-cukupnya akan hampir melampaui hak orang lain. Setengah orang berkata: Saya tidak ingin membeli Neraka Wail daripada Allah dengan sebutir (yakni lebih sebutir saja).
Orang yang mencampurkan makanan dengan tanah atau sebagainya kemudian menakarnya, maka ia tergolong orang-orang yang mengurangi takaran. Penjual daging yang menimbang daging bercampur seumpama itu, tergolong orang-orang yang mengurangi timbangan juga. Keadaan seperti ini boleh dikiaskan pada segala barang dagangan yang lain; seperti pengukuran yang biasa digunakan oleh penjual kain. Ketika ia mengela untuk membeli dikendurkan kain itu ke bawah sedikit, tetapi bila ia mengela untuk menjual ditarik kain itu sampai tegang. Semua ini dilakukan supaya terdapat perbedaan di dalam elaannya itu. Pedagang-pedagang yang mengamalkan cara begini tentu tidak akan terselemat, dan tergolong orang-orang yang mengurangi pengukuran yang bakal menariknya ke dalam Neraka wail.
(4) Hendaklah berkata benar pada menyatakan harga setiap  waktunya dan jangan sekali-kali merahsiakannya. Rasulullah s.a.w. melarang keras untuk menghadangkan kafilah perdagangan yang sedang dalam perjalanannya dan melarang juga dari suka menaikkan harga barang-barang. Adapun menghadang kafilah perniagaan itu ialah untuk menyambutnya di luar kota, lalu memborong semua barang-barang dagangan mereka dengan memberikan harga yang tidak betul dari harga dalam negeri.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Jangan kamu menghadang kafilah-kafilah perdagangan. Akan tetapi jika ada orang yang menghadanginya, maka terserahlah kepada tuan punya barang dagangan itu, kepada siapa yang ia ingin menjual barang-barang dagangannya: iaitu sesudah sampai terlebih dulu di pasar.
Dilarang juga seorang kota menjual bagi pihak orang Badwi, iaitu apabila seorang Badwi datang ke kota membawa barang-barang dagangannya yang hendak dijual dengan segera. Tetapi datang pula seorang kota berkata kepadanya: Tinggalkanlah barang-barang itu kepadaku supaya aku menaikkan harganya dan kita menunggu sampai harganya naik dulu.
Dilarang juga meninggikan harga, iaitu apakala seorang datang kepada penjual barang yang sedang ditawarkan kepada seorang pembeli lalu dia pula sengaja meninggikan harganya, sedangkan maksudnya bukan hendak membeli, tetapi untuk menaikkan semangat si pembeli supaya lekas menawar dan membeli barang-barang itu.
Semua larangan ini menunjukkan, bahwasanya tidak dibolehkan seseorang itu mengelirukan terhadap penjual dan pembeli dalam perkara harga sehari-hari yang kiranya mereka mengetahui barang kali mereka tiada berani membuat perjanjian jual beli. Melakukan yang demikian itu adalah sebagai penipuan yang haram yang bertentangan dengan kejujuran yang wajib ada dalam perkara jual beli. Yang lain pula, tidak bolehlah dia mengambil kesempatan atau menunggu kalalaian tuan punya barang dagangan itu lalu menyembunyikan pula tentang kenaikan harga dari si penjual ataupun turunnya harga kepada si pembeli. Jika melakukan juga, niscaya ia menjadi seorang yang zalim, yang membelakangi keadilan dan kajujuran bagi kaum Muslimin. Dan apakah ia menjual dengan untung atau dengan modal saja seperti katanya: Sebenarnya saya menjual ini dengan harga modal, maka hendaklah ia berkata benar. Sesudah itu hendaklah ia memberitahu segala kecacatan atau kekurangan yang ada pada barang yang dijual itu sesudah dijalankan akad jual belinya.

Ihsan dalam mu’amalah
Allah s.w.t. telah memerintahkan kita supaya berlaku adil dan berbuat baik pada setiap sesuatu. Keadilan itu adalah sebab keselamatan saja, dan ia pula diumpamakan di dalam perniagaan sebagai saluran keselamatan modal. Manakala ihsan atau berbuat baik sebagai sebab kemenangan dan penerimaan kebahagiaan, dan ia pula diumpamakan di dalam perniagaan sebagai saluran keuntungan. Tiadalah dikira seseorang itu berakal sempurna, selagi ia merasa puas dengan urusan-urusan keduniaan dengan setakat modal yang ada padanya saja. Begitu pula halnya dengan urusan-urusan keahiratan juga.
Tiada sepatutnya seseorang yang beragama itu merasa puas dengan melakukan keadilan semata-mata serta menjauhi penganiayaan, sedangkan pintu-pintu keihsanan atau berbuat baik ditinggalkan begitu saja. Allah telah berfirman: Dan berbuat baiklah, seperti Tuhan berbuat baik kepadamu. (al-Qashas: 77)
Berfirman Allah lagi: “Sesungguhnya Allah menyuruh berbuat keadilan dan keihsanan.”  (an-Nahl: 90)
Allah berfirman: “Sesunguhnya rahmat Allah itu paling hampir kepada orang-orang yang berbuat baik”  (al-A’raf: 56)

Ketahuilah seseorang yang berjual beli itu akan mencapai tingkatan keihsanan itu, dengan salah satu enam perkara yang berikut:
(1) Pengelabuan mata dalam perjual-belian. Hendaklah ia tidak mengelabui mata rakannya dalam berjual beli terhadap barang-barang yang biasanya tidak boleh dilakukan pengelabuan. Adapun pengelabuan itu pada asalnya memanglah dibolehkan dalam melakukan jual beli, karena tujuan utama dari berjual beli itu ialah untuk mendapatkan keuntungan dan ia tidak akan berhasil melainkan dengan taktik dan pengelabuan yang tertentu. Meskipun begitu maka hendaklah perenggang keuntungan itu jangan terlalu jauh. Sesiapa yang cukup dengan sedikit keuntungan akan larislah perniagaannya dengan baik, dan dari keuntungan-keuntungan yang sedikit itu, lama-lama menjadi bukit, Itulah yang dikatakan perniagaan yang diiringi dengan keberkatan.

(2) Menanggung kerugian. Seseorang pembeli yang membeli makanan dari seorang yang lemah ekonominya, ataupun membeli sesuatu barang dari seorang yang miskin, sebaiknya ia menanggung sedikit kerugian dari mereka itu dan cuba mengambil jalan mudah. Dengan itu dia akan menjadi seorang yang berbuat baik, dan termasuk ke dalam sabda Nabi s.a.w.: “Allah merahmati orang yang mudah jualannya dan orang yang mudah pembeliannya.” Adapun menanggung kerugian dari seorang kaya, maka itu bukanlah sifat yang terpuji, malah itu adalah mensia-siakan harta tanpa mendapat apa-apa pahala atau kepujian. Kabanyakan para salaf sentiasa berjimat-cermat bila membeli sesuatu barang. Meskipun begitu keadaannya, tetapi mereka sentiasa memberikan orang ramai banyak dari harta kekayaannya. Ada yang bertanya mengapa sikap tuan-tuan macam itu? Mereka menjawab: Sesungguhnya orang yang memberi itu, memberikan dari kelebihannya, manakala orang yang mengelabui mata dalam berjual beli itu, dia mengacau fikiran.

(3) Dalam menunaikan harga atau nilai barang, serta membayar semua hutang dengan cara berihsan, kadang-kadang dengan memaafkan hutang itu sekaligus, atau menggugurkan sebahagiannya. Kadang-kadang dengan memberi tempoh, atau menangguhkannya ke masa yang panjang. Dan kadang-kadang dengan mempermudahkan, sehinngga terdapat mata wang yang sah. Semua itu hukumnya harus dan amat digalakkan sekali.
Dalam sebuah sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang meminjamkan satu dinar kepada sesuatu masa yang tertentu, maka baginya setiap hari sedekah sehingga sampai tempohnya. Apabila cukup tempohnya, lalu diperpanjangkan lagi tepohnya, maka baginya setiap sehari sedekah seperti banyaknya hutang itu.”
Rasulullah s.a.w. pernah memerhatikan seseorang menagih hutang kepada yang lain, lalu baginda mengisyaratkan supaya dia memaafkan separuh dari hutang itu. Penagih hutang bersetuju, lalu baginda berkata kepada yang berhutang: Ayoh, bayar segera!

(4) Cara membayar hutang: Sayugialah hendaknya dibayar hutang itu dengan secara baik, iaitu orang yang berhutang itu sendiri pergi mendapatkan orang yang menghutangkan dan jangan sampai ia menyusahkan orang yang mempunyai hak itu datang menuntutnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik cara menunaikan hutangnya”.
Orang yang berhutang, bila mendapat kelapangan, hendaklah segera menyelesaikan hutangnya, walaupun tempohnya belum sampai lagi. Jika telah sampai waktunya, sedangkan ia tidak mempunyai wang untuk membayar, hendaklah ia berniat di dalam hati, bahwa ia akan membayar hutangnya itu bila mampu. Jika orang yang mempunyai hak menuntutnya dengan kata-kata yang kasar atau sebagainya, hendaklah ia bersabar dan menahan marah. Malah sebaliknya, hendaklah ia menjawab dengan lemah lembut dan nada suara yang rendah, iaitu mengikut perilaku Rasulullah s.a.w. sewaktu baginda dituntut oleh orang  yang menagih hutang daripadanya dengan cara yang kasar; lalu setengah para sahabat mahu bertindak terhadap orang itu, maka Rasulullah menahan mereka sambil menyeru: Biarkanlah ia dengan sikapnya, karena orang yang mempunyai hak itu ada jalan untuk berkata apa saja. Dari cara berihsan atau berbuat baik juga, hendaklah ia bersifat belas kasihan terhadap orang yang berhutang yang tak mampu untuk membayar hutangnya, bila menjatuhkan hukuman ke atasnya.

(5) Hendaklah ia bersetuju mengurangkan harga, bila pembeli meminta pengurangan: iaitu setelah selesai akad jual beli, sebab ia tidak mungkin meminta pengurangan harga, melainkan ia telah merasa menyesal di dalam hati, ataupun setelah terasa sesuatu mudharat tertimpa atas dirinya karena jual beli itu. Maka tidak semestinya si penjual merasa senang hati, sebab kemudharatan saudaranya itu berpunca dari dirinya. Dalam sebuah sabda: “Sesiapa yang mengurangkan harga pembelian seseorang yang merasa menyesal atas jual belinya, niscaya Allah akan mengurangkan kesalahannya di Hari Kiamat”

(6) Hendaklah ia menguruskan jual belinya terhadap kaum fakir miskin dengan segala kelonggaran yang boleh. Dalam pada itu, ia berniat di dalam hati tidak akan menuntut jika mereka dalam kesusahan. Para salaf Saleh biasanya berkata kepada si fakir: Ambillah apa yang engkau hajati, bila ada kelapangan barulah bayar. Kalau tidak, maka anggaplah ia sebagi halal dan sedekah. Begitulah caranya para salaf mengurus perniagaannya. Kesimpulannya perniagaan itu ialah puncak ujian seseorang. Di sinilah dapat di uji agama seseorang dan kawara’annya.

Sikap seorang pedagang terhadap agamanya.
Tiadalah patut seseorang pedagang melebihkan urusan keduniaannya, sehingga ia terlalai pula dari urusan keakhiratannya. Kalau demikian sikapnya, tentulah seluruh umurnya akan menjadi sia-sia belaka dan perniagaannya menjadi rugi. Apa yang terlepas dari keuntungan mengenai urusan akhirat, tidak dapat digantikan dengan keuntungan yang diperolehi di dunia. Dengan itu jadilah ia sebagai seorang pembeli kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat. Orang yang waras fikirannya harus merasa diri sendiri, ialah dengan secara mengawas modalnya makanakala modal yang dimaksudkan di sini ialah agamanya dan amalannya dalam menjalankan perintah dan tegahan Allah s.w.t. 
Seseorang yang ingin menyandarkan simpati terhadap agamanya tidak akan dapat berbuat demikian, melainkan dengan perkara perkara yang berikut:

(1) Bersih niatnya dari sejak ia memulakan perniagaanya iaitu hendaklah ia berniat menjalankan perniagaan itu, supaya ia terhindar dari meminta-minta dari orang ramai, dan menjauhi perasaan tamak dalam diri dengan menginginkan hak orang lain. Hendaklah ia memadai dengan apa yang diperolehinya sebagai rezeki yang halal, juga dengan maksud supaya segala keuntungan yang diperolehi itu dapat menolong dirinya dalam menjalankan urusan-urusan keagamaan, serta mencukupi makan-minum anak isteri di rumah agar ia tergolong orang-orang yang berjihad dalam lapangan mencari rezeki yang halal. Dalam perniagaan itu, hendaklah ia berniat jujur terhadap sekalian kaum Muslimin, dan hendaklah ia mencintai semua makhluk Allah, sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri. Hendaklah ia berniat juga untuk memilih jalan keadilan dan jalan kebaikan dalam semua perkara jual belinya, sebagaimana yang telah kita sebutkan sebelum ini. Kemudian hendaklah ia berniat untuk menyuruh yang baik dan melarang jahat terhadap apa saja yang dilihatnya berlaku di dalam pasar kelak.
Semua perkara-perkara ini, jika diniatkan d dalam hati, niscaya ia menjadi seorang yang berusaha pada jalan menuju akhirat. Dalam urusan perniagaannya kelak, jika ia mendapat keuntungan dari harta kekayaan, maka itu adalah kurnia dan tambahan dari Allah azzawajalla, tetapi jika ia rugi di dunia, niscaya ia akan beruntung pula di akhirat justeru niat-niatnya yang baik tadi.

(2)  Sebaik-baiknya ia berniat membuat sesuatu perusahaan atau perniagaan sebagai menunaikan suatu fardhu dari Fardhu Kifayah. Sebab jika perusahaan dan perniagaan itu diabaikan saja, tentulah akan menjadi tempang perjalanan kehidupan masyarakat dan akan leburlah keharmonian orang ramai. Untuk menjamin perjalanan kehidupan sekalian manusia, mestilah dengan adanya kerjasama dari manusia itu sendiri, sehingga setiap golongan manusia menjamin golongan yang lain dengan berbagai-bagai inisiatif.
Di antara perusahaan-perusahaan ada yang amat penting bagi kehidupan masyarakat, dan ada pula yang tidak begitu penting lantaran perusahaan itu hanya mementingkan kemewahan dan perhiasan keduniaan semata-mata. Dalam memilih perusahaan-perusahaan ini, hendaklah ia memilih perusahaan yang diperlukan untuk kemajuan masyarakat, supaya dengan menjalankan kerja-kerjanya ia dapat memenuhi keperluan-keperluan kaum Muslimin dan mencukupi kehendak-kehendak agama.

(3) Jangan sampai terpengaruh sangat dengan keadaan pasaraan dunia, sehingga ia terpedaya dengannya, lalu meninggalkan sama sekali pasaran untuk akhiratnya. Yang dikatakan pasaran-pasaran untuk akhirat itu ialah amalan-amalan yang dilakukan di dalam masjid-masjid. Allah telah berfirman: “Orang-orang yang tiada dilalaikan oleh perniagaan dan penjual beliannya daripada berzikir kepada Allah dan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat.” (an-Nur: 37)
Para Salaf Saleh sentiasa berlumba-lumba pergi ke masjid, bila mendengar azan seraya meninggalkan pasaran dan perniagaan mereka diuruskan oleh orang-orang ahli zimmah dan anak-anak kecil.
(4) Janganlah hendaknya ia memadai dengan kerja-kerja yang tersebut saja, malah hendaklah ia melazimkan diri dengan berzikir kepada Allah di dalam pasar di antara orang-orang yang sifatnya sentiasa dalam kelalaian, karena berbuat serupa itu adalah paling utama sekali.

(5) Hendaklah ia tiada terlalu mengambil berat terhadap pasaran semata-mata, begitu pula dengan perniagaan saja: iaitu menjadi orang yang pertama sekali masuk ke dalam pasar dan orang yang terakhir kembali daripadanya

(6) Janganlah hendaknya ia hanya menjauhkan diri dari perkara-perkara yang sudah terang haramnya semata-mata, malah mestilah ia memelihara diri dari perkara-perkara yang syubhat juga; iaitu perkara-perkara yang masih diragukan tentang hukumnya. Cara menjauhi perkara ini dengan menanya diri sendiri secara jujur, jika ia merasa kurang senang hendaklah ia meninggalkannya. Jika orang membawa suatu barang kepadanya yang ia merasa syak kepadanya, hendaklah ia bertanya mengenainya terlebih dulu. Hendaklah ia menjauhkan dirinya dari berjual beli dengan barang-barang yang berasal dari penganiayaan atau pengkhianatan atau pencurian atau riba’. Semua barang-barang itu, jangan diperjual belikan.

(7) Hendaklah ia menjaga perjalanan perniagaannya dengan setiap pelanggan, sebab ia akan ditanya dan bertanggungjawab atas tiap-tiap sesuatu. Oleh itu hendaklah ia menyediakan diri untuk menjawab tanggung-jawab itu kelak di Hari Perhisaban (Hari Kiamat)